Tiga hari lagi masa tersebut akan datang. Masa yang akan membawa aku ke satu usia yang lain. Bukan mengenai masa yang akan tiba yang ingin aku ceritakan disini. Tetapi mengenai masa yang lalu, yang membuatkan aku merinduinya. Kerana setiap kali tibanya masa tersebut dia tidak pernak akan lupa mengucapkannya.
Hari ini aku terlalu rindukan dia. Sudah hampir empat tahun dia meninggalkan kami semua. Bulan beranjaknya usiaku adalah sama dengan bulan perginya dia dari dunia ini. Walaupun dia telah tiada, tetapi kasih sayang dan ingatanku pada dia tidak pernah luput.
Aku merupakan cucu yang pertama, jadi dengan kelahiranku amatlah ditungu-tunggu oleh dia. Dari aku kecil sampailah aku besar dia tidak pernah penat melayan kerenah dan kenakalanku. Aku masih ingat, ketika aku masih kecil dia selalu datang ke rumahku. Pada masa itu aku dan keluarga tinggal di PKNS Semenyih. Dia akan menaiki motor dari Beranang ke Semenyih. Kadang-kadang dia akan pergi seorang dan kadang-kala dia akan membawa penemannya hidupnya.
Aku masih ingat setiap kali datangnya hari peralihan usiaku, dia pasti tidak akan lupa untuk memberikan aku hadiah. Bukan satu, bukan dua kadang-kala terlalu banyak hadiah yang diberikan kepadaku. Walaupun pada setiap bulan dia akan membelikan aku sesuatu, tetapi pada hari tersebut dia tetap memberikan aku hadiah.
Masih segar diingatanku, ketika aku mula-mula menjejakkan kaki di sekolah rendah. Pada waktu itu aku bersekolah di Sek. Ren. Keb. Semenyih. Aku takut hendak ke sekolah, ayah hanya menghantar aku hanya di pintu pagar sekolah. Tetapi pabila tiba waktu rehat, aku merasa gembira kerana dia datang dari jauh untuk membelikanku makanan. Hampir setahun dia menemaniku semasa aku rehat.
Menjelang dewasa, rasa malu mula menular dalam diri tatkala ingin bermanja dengan dia. Tetapi dia masih melayan aku seperti dahulu. Aku ingat lagi, semasa aku sekolah menengah setiap kali pulang ke kampung aku pasti akan mengajak dia pergi ke rumah Mak Lang. Sebenarnya aku ada niat lain selain ingin pergi ke rumah mak lang. Selalunya dia pasti tidak mahu membawa aku ke rumah mak lang. Tetapi apabila menjelang petang, dia akan mengajakku ke rumah mak lang, kerana tahu aku ingin menaiki motor. Sebab aku tidak boleh membawa motor didepan ayah dan mama. Kerana mereka tidak membenarkan.
Pertengahan 2007, dia telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya. Doktor mengatakan dia telah terkena strok dan lumpuh sebelah badannya. Aku berasa sangat sedih ketika itu. Hampir setiap petang selepas ayah pulang dari kerja, aku dan keluarga akan melawat dia di hospital. Setiap hari aku berasa sedih melihatkan keadaan dia yang hanya mampu terbaring. Tiada lagi senyuman dari dia setiap kali aku datang, tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya ketika aku datang.
Aku masih ingat, pada hari Rabu dalam minggu tersebut aku mengambil keputusan untuk ponteng sekolah kerana ingin menjaga dia di hospital. Walaupun dia tidak mampu untuk bersuara dan aku tidak dapat untuk berbualnya dengannya tapi aku gembira kerana dapat menghabiskan masa seharian dengannya. Apa yang membuatkan aku kagum adalah walaupun dia terlantar kesakitan tetapi dia masih mahu membaca surat khabar. Dia adalah seorang yang sangat cintakan ilmu kerana dia adalah seorang pendidik.
Aku tidak ingat pada pagi Sabtu atau Ahad aku telah menerima panggilan daripada ayahku mengatakan dia telah pergi mengadap Ilahi. Aku tergamam mendengar perkhabaran tersebut. Tiada apa yang mampu aku lafazkan ketika itu. Ketika aku pulang ke kampung, aku melihat sekujur tubuh yang tidak bernyawa terbaring di atas rumah. Tiada air mata yang tumpah ketika itu, tetapi tatkala aku mula membaca Yasin, air mataku tumpah bagai tidak boleh berhenti. Ketika melihat dan menciumnya buat kali terakhir aku berasa sebak. Ketika melihat dia diusung ke rumah yang baru aku sedih kerana selepas ini rumah tempatku bermain ini tiada lagi kelibat dia.
Dia yang aku maksudkan adalah arwah datukku Ahmad bin Manan. Semoga rohnya dicucuri rahmat disana. Hanya doa yang mampu aku kirimkan untuk dia disana. Apa yang menyebabkan aku tergerak hati untuk mencorakkan kisah dia di lembaran ini adalah kerana semalam aku bermimpikan dia.
Didalam mimpiku itu, dia memelukku dengan erat dan menyuruhku agar menjaga diri. Selepas menciumku dia terus hilang dan aku terjaga dari tidur. Aku terlalu rindukan dia. Terlalu banyak kenangan yang tercipta.
|
Antara kenangan aku dengan dia
Aku bergaun berwarna merah dan berbaju biru
adalah sepupuku yang lahir 6 bulan selepasku.... |
Al-Fatihah buat arwah Ahmad bin Manan.
p/s: aku bersyukur kerana terciptanya kamera kerana ianya telah
merakam satu kenangan dalam hidupku
=(